
KULAI – Juruterbang dan seorang penumpang sebuah pesawat ringan terselamat selepas pesawat yang dinaiki mereka mendarat cemas di kilometer 47.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini, pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, pesawat tersebut bukan terhempas tetapi mendarat secara cemas di lebuh raya itu.
“Pesawat ringan itu bukan terhempas, ia mendarat cemas dan setakat ini belum ada maklumat mengapa pesawat ringan itu mendarat atas lebuh raya.
“Tunggu laporan yang dibuat pihak kami,” katanya seperti dipetik Harian Metro hari ini.



Dalam pada itu, katanya, pegawai trafik masih berada di lokasi untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, tular beberapa keping gambar yang menunjukkan pesawat ringan itu mendarat dan berada di lorong kanan lebuh raya tersebut.
Gambar tersebut turut menunjukkan dua orang lelaki yang dipercayai juruterbang dan penumpang pesawat itu berada di bahu jalan tanpa mengalami kecederaan serius.-MT