Kalau menang saman RM20 juta, saya hadiahkan kepada penjaja

0
1370
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa akan mengagihkan RM20 juta kepada golongan penjaja di Kuala Lumpur jika memenangi tuntutan saman fitnahnya.

Beliau berkata, tuntutan saman sebanyak RM10 juta terhadap Ahli Parlimen Cheras (DAP), Tan Kok Wai dan RM10 juta lagi terhadap sebuah portal berita itu tidak akan ‘disentuh’ walaupun satu sen.

Annuar berkata, tindakan saman itu adalah untuk membersihkan namanya daripada tuduhan dan fitnah mengenai penjualan 42 keping tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Jika menang tuntutan saman RM20 juta itu, satu sen pun saya tidak akan ambil tapi akan diagihkan kepada penjaja di Kuala Lumpur.

“Kalau dia (Kok Wai) tidak mahu menarik balik tuduhan dan dia tidak mahu minta maaf secara rasmi dan jika dia tidak dapat buktikan saya jual tanah tersebut, saya tuntut dia untuk bayar RM10 juta.

“Satu lagi pihak adalah portal berita RM10 juta juga. Semuanya RM20 juta,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program penyampaian sumbangan kepada komuniti Kuala Lumpur di bawah program Wilayah Cakna 3.0 serta sumbangan kepada Persatuan Penduduk Kuala Lumpur di Menara DBKL 3 hari ini.

Terdahulu, Kok Wai mendakwa bahawa 42 plot tanah DBKL terjual dalam tempoh lapan bulan Annuar berkhidmat sebagai Menteri Wilayah Persekutuan seperti dilaporkan sebuah portal terbabit.

Susulan itu, Annuar menerusi Peguam Tetuan Sharul Hamdi and Haziq menyerah notis Letter of Demand kepada Kok Wai, portal berita berkenaan dan ketua pengarangnya bersabit fitnah.

Annuar berkata, tuduhan tersebut dianggap keterlaluan dan menjejaskan nama baiknya hingga menyebabkannya tidak boleh tidur lena.

“Sejak saya jadi menteri belum ada sekeping tanah pun saya jual. Nak jual tanah perlu banyak prosedur sebelum diangkat ke pihak kementerian.

“Belum tahu cerita betul atau salah saya dah kena balun dulu. Saya malu (sebab) kita ada anak isteri dan keluarga. Kita pula wakil rakyat jika orang dah tak percaya kita, bertanding pilihan raya nanti kalah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here