Keputusan tamatkan PKPB lebih awal di negeri kurang kes Covid-19 diumumkan Jumaat ini

0
286
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Keputusan sama ada untuk memendekkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dilaksanakan di beberapa negeri di Semenanjung akan diumumkan pada Jumaat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu akan diputuskan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan penilaian kes di semua negeri yang terlibat dalam PKPB.

“Kalau tiada peningkatan kes dan tempat itu selamat dan status negeri itu boleh dikatakan hjiau, beberapa negeri itu akan ditamatkan PKPB lebih awal.

“Bagaimanapun, ia masih bergantung kepada penilaian KKM. Kita tunggu hingga Jumaat ini dalam sidang khas yang saya akan umumkan nanti,’ katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, negeri yang mencatatkan peningkatan kes yang tinggi di Semenanjung ialah Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan.

Terdapat beberapa negeri lain seperti Kedah, Terengganu dan Melaka mencatatkan 10 kes dan ke bawah semalam.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berharap tiada kenaikan kes di beberapa negeri tersebut supaya PKPB dapat ditamatkan dengan lebih awal.

Sementara itu, ditanya sama ada kerajaan berhasrat melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Tapak Bina Damanlela berikutan peningkatan kes yang mendadak, katanya, buat masa ini KKM masih belum memutuskan langkah tersebut.

Beliau berkata, ini kerana KKM telah mengambil tindakan awal dengan melakukan saringan terhadap 3,070 pekerja asing dan menutup tapak pembinaan terlibat meskipun tidak melaksanakan PKPD.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here