Ketidakpuasan hati orang ramai dengan penganjuran program hiburan dapat perhatian Menteri Agama

0
302
Kesesuaian penganjuran program ABPBH esok ketika negara masih bergelut dengan penularan wabak Covid-19 menjadi perdebatan warga maya sejak beberapa hari lalu

CYBERJAYA – Keluhan orang ramai yang tidak senang dengan penganjuran pelbagai jenis program hiburan sejak kebelakangan ini mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Dalam satu hantaran dalam laman Facebook miliknya, Zulkifli berkata, bagi menyampaikan keluhan itu, beliau telah mengunjungi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini bagi berkongsi pandangan berhubung penganjuran program hiburan yang tular kebelakangan ini.

“Saya menjelaskan pendirian Islam yang tidak menolak sebarang bentuk hiburan yang tidak bertentangan dengan agama.

“Hiburan yang tidak berlebihan, apatah lagi dalam kaedah psikoterapi yang menerapkan elemen agama, adalah satu bentuk pendekatan yang amat baik dalam situasi yang menekan pada masa ini.

“Dalam masa yang sama, beberapa isu sensitiviti umat Islam seperti bulan Maulidurrasul yang masih berbaki beberapa hari, perlu diberi pertimbangan sebaiknya,” katanya hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, warga maya membantah sebuah program hiburan yang mencari selebriti paling popular di Malaysia.

Tidak berpuas hati kerana tuntutan mereka tidak dilayan oleh stesen televisyen berkenaan, warga maya telah ‘menyerang’ laman Facebook milik Menteri Agama itu setiap kali ada hantaran baharu.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, beliau dimaklumkan bahawa Menteri Komunikasi dan Multimedia itu akan menghubungi pihak penganjur dan berusaha meneliti ruang penambahbaikan yang sesuai.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya juga mengambil maklum kesan kepada kru belakang tabir yang terlibat dalam industri muzik sejak penularan Covid-19.

Beliau berkata, golongan itu adalah antara yang terjejas pendapatan, terutamanya yang bekerja sepenuh masa dalam industri ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here