Ketua Pengarang Sinar meninggal dunia selepas lebih seminggu menerima rawatan

0
210
Allahyarham Datuk Baharom Mahusin

CYBERJAYA – Ketua Pengarang Sinar Harian yang juga bekas Pengarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin meninggal dunia pagi ini selepas lebih seminggu menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Allahyarham, 54, meninggal dunia kira-kira pukul 7.23 pagi tadi.

Berita kematian Allahyarham itu disahkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub menerusi satu ciapan di laman Twitter miliknya.

“Hari ini Sinar Harian terpaksa merelakan sebuah lagi kepergian. Semoga Allahyarham Datuk Baharom Mahusin, yang baru menghembuskan nafas terakhir beliau di PPUM damai di sana.

“Saya bersaksi bahawa arwah seorang yang amat baik. Semoga Allah SWT memberi tempat terbaik buat beliau,” katanya.

Sebelum menyertai Sinar Harian pada April tahun lalu, Allahyarham merupakan salah seorang daripada ratusan warga Utusan Melayu yang mengambil skim perpisahan sukarela (VSS) pada 2018.

Jawatan terakhir beliau di syarikat Utusan Melayu ialah sebagai Pengarang Kosmo! iaitu jawatan nombor satu akhbar kompak tersebut.

Difahamkan, jenazah akan dibawa dari PPUM ke Masjid Bilal Bin Rabbah Taman Koperasi Polis Kuala Lumpur sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudthul Sakinah Taman Batu Muda.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here