Malakat Mall tawar peluang perniagaan kepada bekas kakitangan syarikat penerbangan

0
315
Coach Mohd. Fadzil bersama Mohd Fadhli (kanan) menunjukkan dokumen perjanjian persefahaman yang ditandatangani pada majlis di Malakat Mall petang ini.

CYBERJAYA – Malakat Mall mempelawa bekas kakitangan syarikat penerbangan yang terkesan atau kehilangan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19 menyertai program keusahawanan makanan anjuran pusat beli-belah itu.

Melalui program keusahawanan yang dimeterai bersama Brahim’s SATS Food Services Sdn. Bhd. (Brahim’s SATS) itu, peserta boleh memulakan perniagaan makanan pada harga modal serendah RM1,000.

Ketua Pegawai Eksekutif, Malakat Mall, Fadzil Hashim berkata, program yang ditawarkan bermula hari ini itu ditawarkan dalam bentuk pek makanan yang sedia untuk dijual.

Beliau berkata, pada peringkat pertama, pihaknya mensasarkan penyertaan kira-kira 1,000 peserta yang berminat untuk menceburi perniagaan itu.

“Usaha ini adalah usaha Malakat Mall dengan kerjasama Brahim’s untuk menyediakan peluang perniagaan tanpa modal yang besar.

“Kita mulakan dengan kelompok bekas kakitangan syarikat penerbangan yang kehilangan punca pendapatan dan sudah tentu orang ramai yang berminat juga boleh memohon,” katanya.

Gambar hiasan

Mohd. Fadzil berkata demikian pada Majlis Persefahaman (MoU) antara Malakat Mall dengan Brahim’s SATS dan pelancaran Projek Muslim Village Malaysia di Malakat Mall hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Brahim’s SATS, Mohd Fadhli Abdul Rahman dan Pengerusi Permodalan Yayasan Basmi Kemiskinan Sdn Bhd (Permodalan YBK) , Datuk Zainal Abidin Sakom.

Menurut Mohd. Fadzil, sebagai permulaan, peserta program keusahawanan makanan akan disediakan dengan pelbagai menu makanan untuk jualan di kawasan komuniti masing-masing.

“Melalui pengalaman luas Bramin’s sebagai penyedia makanan dalam penerbangan, kita yakin set makanan yang bersih dan bernutrisi ini akan mendapat sambutan baik,” katanya.

Pada majlis itu Raudhah City Sdn. Bhd. turut menandatangaani surat persetujuan kolaborasi strategik dengan Permodalan YBK bagi pembangunan perumahan Islam yang dinamakan Projek Muslim Village.

Projek Muslim Village Malaysia di Bukit Tasik, Serendah, Selangor ini dibangunkan oleh Raudah City di tanah seluas 176.9 ekar milik Perbadanan YBK membabitkan 1,000 unit kediaman dan dijangka siap pada Jun 2021

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here