Maritim Malaysia tumpas penyeludupan ganja terbesar

0
283
Sebahagian daripada ketulan ganja mampat yang dirampas dalam penyeludupan di perairan Perlis 15 November lalu.

𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗣𝗘𝗥𝗟𝗜𝗦- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) berjaya  merampas 300 kilogram (kg) ketulan ganja mampat dan daun ketum seberat 1.5 tan dalam dua Operasi Khas membanteras penyeludupan dadah di perairan Perlis.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Agensi Penguatkuasaan Martim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, penyeludupan itu tumpas hasil risikan dan intipan dilakukan ke atas aktiviti penyeludupan di perairan negeri beberapa minggu lalu.

“Dalam serbuan pertama pada awal pagi 15 November 2020, sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran telah ditahan pada jarak lebih kurang 2.7 batu nautika dari barat laut pantai Kuala Sanglang, Perlis sekitar jam lebih kurang 4.20 pagi.

“Sebelum itu, bot fiber terbabit telah menukar haluan ke arah paya bakau apabila melihat kehadiran Bot Peronda Maritim Malaysia namun berjaya dipintas dan ditahan. 

“Bagaimanapun, tekong dan seorang awak-awak nekad terjun ke laut meninggalkan bot dengan berenang ke kawasan bakau untuk melepaskan diri daripada ditahan,’’ katanya dalam kenyataan di laman Facebook agensi itu.

Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah (tengah) menunjukkan bungkusan berisi ganja yang berjaya dirampas.

Zawawi berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan 17 bungkusan plastik hitam disyaki ketulan ganja mampat seberat kira-kira 300 kg dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran. 

Kesemua ketulan ganja mampat dengan anggaran berat 1 kg setiap satu itu diikat berbentuk kotak dan dibalut kemas dengan plastik putih.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk ketulan ganja mampat, bot fiber berserta enjin sangkut bergalah dianggarkan RM 910 ribu. I

“Ia merupakan rampasan ganja terbesar dilakukan oleh ZMKP sehingga ini,’’ katanya. 

Beliau berkata, kesemua hasil rampasan dibawa ke ZMKP dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut Zawawi, rekod keseluruhan rampasan dadah di Maritim Negeri Kedah dan Perlis sehingga kini berjumlah RM 15.3 juta.

Dalam serbuan kedua pada tengah malam 16 November 2020, sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran berjaya dipintas di kedudukan 0.7 batu nautika daripada barat muara Kuala Perlis, lebih kurang jam 12.15 malam.

“Tekong bot fiber telah bertindak memecut laju hingga meluncur ke daratan dan melarikan diri bersama dua awak-awak tanpa sempat menyelamatkan muatan  yang dibawa dalam bot. 

“Hasil pemeriksaaan menjumpai 148 beg bungkusan berwarna merah disyaki daun ketum dengan anggaran seberat 1.5 tan yang bernilai kira-kira RM 120 ribu,’’ ujar Zawawi.

Semua hasil rampasan dan bot beserta enjin sangkut jenis Mercury 115HP dengan anggaran RM180 ribu dibawa ke jeti ZMKP dan diserahkan kepada Pengawai Penyiasat untuk siasatan kes di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Orang ramai dan persatuan-persatuan nelayan diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan aktiviti penyeludupan bagi membanteras penyeludupan dadah dan daun ketum. 

Sebarang aduan di perairan Perlis, boleh disalurkan ke talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi ZMKP 04-9851072 atau 04-9851162.

Bungkusan berisi daun ketum dianggar bernilai RM120 yang berjaya dirampas Maritim Malaysia pada 16 November lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here