
CYBERJAYA – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sekaligus melepaskan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Penubuhan parti itu.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi menumpukan usaha membantu rakyat di kawasannya yang terkesan akibat penularan Covid-19.
“Usaha dalam gerakan perubahan pendidikan akan diteruskan melalui kapasiti saya sebagai Ahli Parlimen Bebas serta menerusi ruang aktivitisme dan kerja-kerja kemanusiaan di bawah rangkaian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan-rakan aktivis lain.

“Saya percaya, perubahan tidak memerlukan kedudukan dan jawatan tetapi keinginan dan kesempatan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Pejuang yang diasaskan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusinya, sehingga kini masih belum diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Sebelum ini, timbul desas desus mengenai keputusan itu apabila nama Maszlee dikeluarkan dalam kenyataan media parti Pejuang bertarikh 1 November.
Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan fakta melalui kajian lapangan dan tinjauan terperinci terhadap aspirasi dan kehendak rakyat.
“Saya yakin, rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elitis.
“Rakyat mahukan ahli politik yang fokus berkhidmat dan benar-benar menyelesaikan masalah yang rakyat hadapi sekarang,” katanya.