Nikon tutup operasi di Malaysia

0
439
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Nikon (Malaysia) Sdn Bhd. (Nikon Malaysia) mengumumkan penutupan operasinya di negara ini bermula 1 Januari tahun hadapan.

Nikon Malaysia dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun syarikat itu akan terus beroperasi seperti biasa sehingga 31 Disember ini.

“Bermula Januari tahun hadapan, perniagaan ini akan diselia oleh rakan niaga tempatan kami, Futuromic Photo AV Sdn. Bhd.

“Futuromic Photo akan menjalankan pelan pemasaran, jualan dan perkhidmatan selepas pembelian untuk semua produk Nikon di Malaysia,” katanya hari ini.

Bagaimanapun, dalam kenyataan itu tidak menyebut punca gergasi kamera dari Jepun menutup operasi di Malaysia.

Dalam pada itu, Nikon turut mengumumkan bahawa syarikat QES (Asia Pacific) Sdn. Bhd. akan terus menjadi pengedar kepada produk syarikat itu.

Pada bulan lalu, Nikon Indonesia mengumumkan untuk menutup operasinya di negara yang mempunyai penduduk lebih 200 juta orang itu.

Berikutan itu, segala perniagaan berkaitan syarikat itu diambil alih oleh PT Alta Nikindo.

Seperti di Malaysia, Nikon juga tidak menyebut sebab mereka menutup operasi di Indonesia.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here