Pelajar Terengganu menang pertandingan video antarabangsa

0
281
Pengumuman keputusan pertandingan video pendek Kid Witness News Global Summit 2020 yang dimenangi SMK Kuala Besut kelmarin.

CYBERJAYA – Enam pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut, Terengganu mengharumkan nama negara apabila menjuarai pertandingan video pendek antarabangsa.

Dalam pertandingan Kid Witness News (KWN) Global Summit 2020 anjuran Panasonic itu, pasukan negara menewaskan dua pesaing dari Jepun dan Vietnam.

Mereka adalah bekas pelajar, Muhammad Nasrur Afdie Marzuki, Muhammad Afiq Mohd Ridzuan, Umar Hamzah dan Nik Muhammad Izzul Iman Nik Mawardi dan kembar Tingkatan 2, Mohamad Aqib Azfar Mohamad Azhar dan Mohamad Aqif Azfar.

Pertandingan itu merupakan program pendidikan video global bertujuan meningkatkan kreativiti, kemahiran komunikasi serta memupuk semangat berpasukan melalui penghasilan video oleh pelajar sekolah rendah dan menengah.

[2020] MARK ROSO, The Island Boy (Malaysia)
Video pendek bertajuk ‘Mark Roso: The Island Boy’ yang dihasilkan oleh pelajar SMK Kuala Besut.

Pengetua sekolah, Amran Ibrahim berkata, video yang dihasilkan oleh pelajar terdiri daripada anak-anak kampung itu mengisahkan anak seorang pemandu bot yang merupakan kisah sebenar pelajar berkenaan.

“Dengan kejayaan ini, pasukan telah memenuhi syarat untuk mewakili negara ke pertandingan akhir yang akan berlangsung di Osaka, Jepun.

“Oleh kerana pandemi Covid-19, pertandingan diadakan secara dalam talian dan hasilnya diumumkan semalam,” memetik laporan Bernama.

Menurut Amran, penghasilan video itu bermula setahun yang lalu dan dipertandingakan di peringkat kebangsaan sebelum mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa yang menerima 150 penyertaan itu.

“Kami mempertaruhkan video pendek berjudul ‘Mark Roso: The Island Boy’. Mengisahkan kehidupan seorang pelajar bernama Muhammad Nasrur Afdie Marzuki, 17,  yang membantu keluarganya dengan bekerja sebagai pemandu bot di pulau peranginan pada hujung minggu dan cuti sekolah.

“Walaupun dalam serba kekurangan, pasukan tersebut mampu menyiapkan video itu dalam tempoh sebulan dengan hanya menggunakan telefon bimbit,”katanya.

SMK Kuala Besut sebelum ini pernah muncul johan dalam pertandingan Kempen Kesedaran Nuklear Antarabangsa di Korea Selatan dan menjadi jemputan ikon dunia di Kongres Kesedaran Nuklear di St. Petersburgh, Rusia pada  2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here