Pemberian vaksin pneumokokal konjugat bermula 1 Disember ini

0
184


CYBERJAYA – Pemberian vaksin pneumokokal konjugat (PCV) di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak di fasiliti kesihatan KKM akan bermula pada 1 Disember 2020.

Vaksin pneumokokal akan diberikan sebanyak tiga dos iaitu dua dos primer pada umur empat bulan dan enam bulan seterusnya diikuti dengan satu dos penggalak (booster) pada umur 15 bulan. 


Kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya adalah layak menerima suntikan vaksin pneumokokal di klinik kesihatan Kementerian Kesihatan.


Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ibu bapa perlu membuat temu janji dengan klinik kesihatan Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan kesesakan.


“Temu janji itu juga bagi memastikan kepatuhan kepada normal baharu dalam usaha mencegah penularan penyakit Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Menurut Dr. Noor Hisham, bagi kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya yang telah berumur 5 bulan atau lebih, jadual imunisasi pneumokokal akan disesuaikan mengikut umur oleh fasiliti kesihatan kementerian.  


Katanya, pemberian vaksin pneumokokal kepada kanak-kanak bertujuan untuk mengurangkan kadar morbiditi dan mortaliti akibat penyakit pneumokokal di kalangan kanak-kanak bawah lima tahun.


“Ini seterusnya dapat mengurangkan kos rawatan penyakit pneumokokal dan komplikasinya. Walaupun penyakit pneumokokal boleh dirawat dengan pemberian antibiotik, namun terdapat beberapa strainbakteria pneumococcus yang mempunyai kerintangan terhadap antibiotik.


“Pemberian vaksin pneumokokal adalah kaedah paling berkesan untuk menghalang jangkitan bakteria pneumokokus dan secara tidak langsung mengurangkan kerintangan terhadap antibiotik,” katanya.


Dalam pada itu katanya, pemantauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat global menunjukkan sehingga 30 Jun lalu, terdapat 156 buah negara yang telah menyenaraikan vaksin PCV di dalam Program Imunisasi Kebangsaan mereka.

“Seperti vaksin-vaksin lain yang digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan, vaksin pneumokokal adalah vaksin yang berkesan dan selamat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here