
CYBERJAYA – Permohonan oleh Perdana Menteri supaya pengisytiharan darurat dibuat sebagai alasan dan cara untuk menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bukan sahaja tidak perlu tetapi bukan jalan terbaik.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan tidak akan bertanding di Batu Sapi.
Pada masa sama, katanya, parti-parti lain juga boleh memberikan laluan kepada Warisan bagi bertanding di Parlimen Batu Sapi tanpa di cabar.
“Jika persefahaman sebegini boleh diusahakan, maka kita boleh memberi laluan kepada Warisan dalam PRK Batu Sapi sebagai permuafakatan nasional mengurangkan impak wabak korona kepada masyarakat.
“Jika ini berlaku, PRK Batu Sapi tidak diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, untuk PRN Sarawak pula, tempoh matang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ialah 7 Jun 2021 dan jika kerajaan negeri berkhidmat sehingga tamat tempoh tersebut, PRN akan diadakan 60 hari dari 7 Jun 2021.
Katanya, ini membolehkan PRN Sarawak diadakan dalam bulan Ogos 2021.
“Bayangkan implikasi darurat jika diisytiharkan, hanya untuk mengelakkan PRN Sarawak sedangkan ia boleh diadakan paling lewat 10 bulan akan datang.
“Saya sangat meyakini kebijaksanaan Ketua Menteri Sarawak dan pastinya beliau akan membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira pelbagai dimensi kepentingan umum sebelum membubarkan DUN Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, Malaysia mempunyai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bebas dan mampu mengendalikan pilihan raya dalam keadaan apa sekalipun sesuai keperluan Perlembagaan.
Katanya, suruhanjaya itu juga mampu mengendalikan pilihan raya dengan protokol kesihatan sewaktu pandemik sedang berlaku.
“Malaysia adalah sebuah demokrasi yang berfungsi dengan baik dan ia mesti terus berfungsi dalam keadaaan paling getir sekalipun.
“Justeru itu, semua pihak mesti menghormati kearifan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong untuk menolak darurat, mempertahankan Perlembagaan dan mengiktiraf pencapaian baik Kerajaan mengawal pandemik waktu ini,” katanya.-MT