Pengusaha tadika swasta serah memorandum kepada Perdana Menteri

0
539
Siti Ruzita Ramli, Anisa Ahmad dan Mawar Ashireem Razali menunjukkan memorandum bersama ditandatangani pengusaha pusat pendidikan awal kanak-kanak dan tadika swasta sebelum diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri.

PUTRAJAYA – Persatuan serta pengusaha pusat pendidikan awal kanak-kanak dan sekolah swasta hari ini menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meneliti semula arahan penutupan pusat pendidikan itu di seluruh negara.

Setiausaha Persatuan Tadika Islam Malaysia, Siti Ruzita Ramli berkata, penyerahan memorandum bersama itu bertujuan meminta kerajaan mengkaji semula kesan penutupan institusi pendidikan awal kanak-kanak berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kami mohon ehsan kerajaan supaya mengkaji semula tindakan dan membenarkan institusi-institusi di kawasan yang tidak terbabit dengan PKPD dan PKPB beroperasi semula.

“Gesaan ini bukan sahaja disebabkan kesan ekonomi dan aliran tunai yang tenat kepada pengusaha tetapi juga mengambil kira kesan-kesan domino lain termasuk perkembangan kanak-kanak,” katanya kepada Malakat Tribune ketika ditemui di depan pintu Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Pengusaha tadika swasta serah memorandum kepada Perdana Menteri
Penutupan pusat pendidikan awal kanak-kanak sepanjang PKPB ini turut membebankan ibu bapa yang bekerja. foto FARID JANUDIN, 1 JULAI 2020

Penyerahan memorandum yang ditandatangani oleh wakil lebih 30 pusat pendidikan awal kanak-kanak dan sekolah swasta itu turut diwakili Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Anisa Ahmad dan Ketua Pegawai Operasi Brainy Bunch, Mawar Ashireem Razali.

Antara pengusaha yang terlibat dalam memorandum itu adalah Brainy Bunch, Kumpulan Pendidikan GAINS, Persatuan Tadika Swasta Petaling Perdana, Al-Baghdadi, Angkata Belia Islam Malaysia (ABIM), Little Caliphs, Al-Kauthar Eduqids, Crestar Education Reastar Education, Q-dees, Persatuan Tadika Swasta Sepang, Kinderland, SmartReader Worldwide dan banyak lagi.

Siti Ruzita berkata, selain meminta kebenaran beroperasi di kawasan selamat (bukan zon Merah), memorandum itu juga menggesa kerajaan memendekkan tempoh penutupan tadika swasta daripada hujung Januari 2021 kepada awal Januari 2021.

“Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan perkara ini kerana penutupan ini benar-benar menjejaskan kelangsungan pengusaha tadika.

“Mereka dibebani dengan kos pengurusan sekolah yang tinggi selain meneruskan gaji para guru,” katanya.

Selain itu tambah beliau, kebenaran beroperasi itu juga akan dapat meringankan beban harian ibu bapa yang bekerja dan guru-guru yang masih memerlukan gaji bulanan.

Arahan penutupan institusi pendidikan awal kanak-kanak dan tadika swasta oleh kerajaan baru-baru ini menjejaskan kira-kira 5,000 pengusaha di seluruh negara membabitkan lebih 50,000 murid.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here