Perdana Menteri ucap rasa syukur Belanjawan 2021 diluluskan

0
142
Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa syukur selepas Belanjawan 2021 diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli Parlimen terutamanya daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang telah menyokong belanjawan itu.

“Sokongan ini membuktikan kematangan ahli-ahli Parlimen dalam membuat keputusan penting dengan meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan mendahului perkara-perkara lain.

“Belanjawan 2021 merupakan belanjawan terbesar dan sangat penting kepada negara dan sokongan ini membolehkan kerajaan melaksanakan segala perancangan perbelanjaan untuk tahun hadapan dengan teratur dan lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhyiddin, belanjawan itu juga
membuktikan kerajaan PN amat prihatin kepada rakyat dan amat responsif terhadap pandangan pelbagai pihak dalam membantu rakyat memulih serta menjana semula ekonomi negara yang terkesan teruk akibat pandemik Covid- 19.

“Saya tersentuh dengan pendirian ahli-ahli Parlimen yang menyokong belanjawan ini, sekali gus membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahu ahli-ahli politik mengetepikan sementara politiking bagi membolehkan belanjawan ini diluluskan tanpa gangguan lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang bergelut dengan ancaman Covid-19.

“Saya juga ucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan dan Kementerian Kewangan yang telah bertungkus-lumus menyiapkan penggulungan Belanjawan 2021 dengan beberapa penambahbaikan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, penambahbaikan itu telah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen yang mengambil bahagian ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 dijalankan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here