Peruntukan Jabatan Perdana Menteri lulus selepas undi belah bahagi

0
81

CYBERJAYA- Peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri di bawah Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 di peringkat jawatankuasa diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan keputusan berkenaan selepas majoriti ahli Parlimen memberi sokongan menerusi undi belah bagi.

“Tidak hadir 20, tidak bersetuju 95 dan bersetuju 105, usul disetujukan,” kata Azhar Azizan selepas undian belah bagi peruntukan buat 5 kementerian di bawah JPM, iaitu Hal Ehwal Undang-undang, Ekonomi, Agama, Sabah dan Sarawak dan Tugas-tugas Khas.

Bagaimanapun sebelum undian belah bahagi dilaksanakan, Azhar Azizan mahu undi suara dibuat memandangkan suara ahli Parlimen Perikatan Nasional lebih kuat.

Namun, ahli Parlimen pembangkang menggesa undi belah bagi diadakan, dengan lebih 15 ahli Parlimen berdiri untuk memberikan sokongan.

Azhar Azizan kemudiannya memberi 10 minit untuk ahli Parlimen mengundi bagi RUU itu dan keputusan yang diperolehi ialah tidak bersetuju 95 dan bersetuju 105.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam status Facebook miliknya mendakwa, kedengaran suara ahli-ahli Parlimen pembangkang berkata “kita akan minta undi belah bahagi bagi setiap kementerian mulai hari ini”.

“Wah! ternyata mereka merasai bahangnya apabila Ahli Parlimen pembagkang gagal memperoleh 15 orang untuk mengadakan undi belah bahagi ketika memutuskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar pada Khamis lepas.

“Ramai penyokong PH (Pakatan Harapan) mengkritik pemimpin PH yang ‘cakap tak serupa bikin’. Mulai hari ini, sandiwara PH akan bermula dan membantah Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa bagi setiap kementerian bagi menutup kesilapan mereka pada Khamis lalu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here