[VIDEO] PKPB: Pengusaha tadika, sekolah swasta gesa kerajaan kaji semula penutupan sesi persekolahan

0
508
Kanak-kanak pra sekolah menghadiri hari pertama pembelajaran di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Brainy Bunch, Cyberjaya. foto FARID JANUDIN

RAUDHAH CITY – Penutupan pusat pendidikan awal kanak-kanak dan sekolah swasta di seluruh negara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu sehingga sekarang telah memberi kesan besar bukan sahaja kepada kanak-kanak dari segi pembelajaran malah bakal menyebabkan guru-guru berhenti beramai-ramai.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch, Mohd Fadzil Hashim, situasi yang berlaku sekarang menyebabkan ramai guru pusat pendidikan awal kanak-kanak memilih karier baharu untuk meneruskan kehidupan dan mencari rezeki.

“Keutamaan kita sekarang ialah untuk meneruskan pendidikan awal kanak-kanak yang mana lebih 90 peratus bergantung kepada sektor swasta untuk menyediakan pusat pendidikan tersebut.

“Apa yang berlaku sekarang ialah banyak cikgu yang sudah berputus asa untuk menyambung mengajar, sebab kerajaan buat keputusan tanpa memikirkan nasib pusat pendidikan awal kanak-kanak ini.

“Jadi, kalau tiada cikgu, tiada siapa yang akan mengajar kanak-kanak ini,” katanya.

PKPB: Pengusaha tadika alami kerugian teruk, gesa kerajaan buka semula demi kebaikan semua pihak

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Sokongan Untuk Kelangsungan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Sekolah Swasta di Malaysia bersama-sama pengusaha pusat pendidikan awal kanak-kanak dan sekolah swasta di pusat beli belah Malakat Mall di Cyberjaya di sini hari ini.

Mohd Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, keadaan tersebut jika dibiarkan tanpa penyelesaian segera akan membahayakan negara kerana pendidikan awal kanak-kanak merupakan satu tempoh yang penting dalam pendidikan manusia.

Malah, katanya, untuk Malaysia menuju sebagai sebuah negara maju, pendidikan modal insan iaitu pada tempoh enam tahun yang pertama perlu diperkasakan.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya bersama Persatuan-Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Sekolah Swasta akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meneliti semula penutupan pusat pendidikan itu, esok.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kebimbangan pelbagai pihak sekiranya berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) jika pusat pendidikan itu dibuka semula, beliau menegaskan, kanak-kanak merupakan golongan yang paling patuh mendengar nasihat dan arahan guru berbanding golongan dewasa.

Malah, tegasnya, sejak kerajaan mengumumkan SOP berkaitan pusat pendidikan awal kanak-kanak, semua pengusaha terlibat telah mengikutinya tanpa bantahan.

Sementara itu, menurut Setiausaha Persatuan Tadika Islam Malaysia, Siti Ruzita Ramli, pihaknya mencadangkan supaya penutupan semua pusat pendidikan hingga hujung Januari dikaji semula.

“Cadangan kami ialah supaya penutupan dibuat hingga akhir Disember ini sahaja dan pengumuman dibuat untuk tadika dan sekolah dibuka pada awal Januari tahun hadapan.

“Selanjutnya sekiranya ada kes baharu, penutupan perlulah dibuat dengan lebih bersasar hanya untuk kawasan tadika dan sekolah yang mempunyai kes sahaja,” katanya.

Beliau berkata, ini kerana penutupan itu bukan sahaja memberi kesan pembelajaran awal kanak-kanak tersebut malah menyusahkan ibu bapa yang perlu bekerja sama ada di pejabat atau bekerja dari rumah.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here