PKPB: TASKA dibenarkan beroperasi kembali

0
447
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Semua Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dibenarkan dibuka semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, langkah itu diambil bagi memudahkan ibu bapa yang terpaksa keluar bekerja sepanjang tempoh berkenaan

Berikutan itu, katanya, pihak pengendali TASKA perlu memohon kebenaran dan merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sebelum membuka semula operasi mereka.

“Kita menerima banyak aduan dari ibu bapa yang perlu keluar untuk bekerja dan kita harus menangani isu ini dengan segera. Kita faham kerana walaupun PKPB namun aktiviti ekonomi masih perlu berjalan.

“Justeru kementerian meminta JKM negeri untuk meneliti permohonan TASKA ini untuk pembukaan semula operasi dan kita sendiri tiada halangan mengenainya.

“Cuma apabila beroperasi, TASKA perlu mengikut SOP yang ketat termasuk menjarakkan waktu penghantaran antara satu kanak-kanak dengan kanak-kanak lain bagi memastikan kesihatan dan keselamatan mereka terjaga,” katanya seperti dipetik Berita Harian hari ini.

Dalam pada itu, Rina berkata, SOP terperinci mengenai operasi TASKA ketika tempoh PKPB ini sudah diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diwar-warkan kemudian.

Katanya, kebanyakan TASKA yang dibuka adalah untuk menjaga kanak-kanak bagi membantu ibubapa yang bekerja dalam sektor swasta.

“Kalau di sektor awam, kita ada jadual yang hanya 30 peratus sahaja di pejabat dan selebihnya di rumah dengan menggunapakai sistem penggiliran.

“Tapi di sektor swasta ia bergantung kepada syarikat masing-masing justeru kita menggalakkan mereka turut melaksanakan sistem penggiliran ini bagi membolehkan pekerja bekerja dari rumah, ” katanya.

Kelmarin, pengusaha-pengusaha pusat pendidikan awal kanak-kanak mengadakan sidang akhbar bagi menggesa kerajaan membuka semula tadika selepas menerima rungutan daripada ibu bapa yang tidak mempunyai tempat untuk menghantar anak-anak mereka.

Susulan itu, pihak pengusaha terbabit menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri semalam untuk mengkaji semula perkara itu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here