PKPD di asrama syarikat Top Glove disambung sehingga 14 Disember

0
61

CYBERJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja syarikat Top Glove di Klang, Selangor, disambung bermula esok sehingga 14 Disember.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil kerana masih terdapat kes positif Covid-19 yang baharu direkodkan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 5,805 ujian saringan Covid-19 teradap pekerja kilang berkenaan dilaksanakan dan daripada jumlah itu sebanyak 3,406 kes dikesan positif.

“Penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan juga mendapati kadar positif di kawasan itu masih tinggi yang mana terdapat kes positif baharu dikesan di kalangan pekerja melalui ujian saringan kedua.

“Selain itu, Kementerian Kesihatan mendapati kes negatif dalam kluster ini masih berisiko dan ujian saringan kedua sedang diteruskan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Ismail Sabri, semua pekerja kilang diwajibkan menjalani ujian saringan yang dijalankan klinik swasata dengan dipantau dan dikawal selia oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang.

Beliau berkata, pekerja bukan warganegara yang disaring dan negatif akan diletakkan di Stesen Kuarantin manakala pekerja warganegara menjalani kuarantin di rumah serta mereka diletakkan di bawah perintah pengawasan (HSO) selama 14 hari, memakai gelang pengawasan selain perlu menjalani ujian saringan kedua pada hari ke-13.

“Mereka tidak dibenarkan bekerja sehingga keputusan saringan ulangan dan pelepasan HSO diberikan.

“Bagi pekerja bukan warganegara positif pula akan ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di asrama diwartakan manakala pekerja warganegara ditempatkan di fasiliti Kementerian Kesihatan.

“Segala keperluan termasuk makan minum, penginapan serta pengangkutan akan ditanggung oleh pihak majikan. Pekerja bukan warganegara hanya dibenarkan bekerja sekiranya diberikan pelepasan HSO atau kes positif didiscaj dari fasiliti kesihatan dan diberi nota discaj disahkan.

“Kesemua pekerja yang dilepaskan HSO akan dipakaikan gelang pengawasan berlainan warna bagi memantau,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here