PKPD di Zon A Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah di Ipoh mulai esok

0
155

CYBERJAYA- Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Zon A, Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah di Ipoh, Perak akan dilaksanakan selama 14 hari bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di dua lokaliti itu dilaksanakan bermula esok sehingga 14 Disember membabitkan lebih 9,000 penduduk.

“Zon A, Taman Klebang Jaya melibatkan 1,061 buah rumah dengan jumlah penduduk seramai 4,244 orang.

“Sementara itu di Taman Pinji Mewah terdapat 1,430 buah rumah dan 44 unit kedai/pejabat dengan jumlah penduduk seramai 5,720 orang,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Ismail Sabri, PKPD itu dilaksanakan susulan peningkatan kes positif Covid-19 melibatkan pekerja kilang Kamaya dan kilang Salutica di Ipoh yang tinggal di dua lokaliti terbabit.

”Sehingga kini, sebanyak 1,402 individu telah disaring dan jumlah kumulatif kes positif yang direkodkan adalah 228 kes melibatkan pekerja di kilang Kamaya dan kilang Salutica.

“Kementerian Kesihatan mengeshkan jangkitan yang melibatkan pekerja di kedua-dua kilang ini merebak di kawasan tempat tinggal mereka.

“Daripada jumlah itu, 110 kes positif direkodkan melibatkan pekerja yang tinggal di Zon A, Taman Klebang Jaya, Ipoh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here