PKPD: Perdana Menteri tinjau penduduk Medan 88

0
179
Perdana Menteri melihat seorang penghuni kawasan itu menjalani ujian saringan Covid-19

CYBERJAYA – Kira-kira 500 orang penghuni yang mendiami Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini selepas lokasi tersebut dikuatkuasakan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula tengah malam tadi.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turun melawat kawasan tersebut hari ini, Medan 88 menempatkan 88 unit kedai tiga tingkat, 284 unit rumah dengan majoriti tingkat atas premis dijadikan bilik sewa.

Beliau berkata, premis itu majoritinya dihuni oleh individu dari Sabah serta warga asing yang sebahagian besarnya bekerja di kawasan perindustrian di sekitar Sepang.

“Saya difahamkan PKPD dibuat selepas 113 individu di mana sebahagian besarnya dari Sabah disahkan positif virus itu selepas saringan dilaksanakan bermula pada awal Oktober lalu.

“Kadar positif juga tinggi, iaitu 35.4 peratus,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Perdana Menteri berkata, laluan masuk di sekitar kawasan tersebut mula ditutup oleh pasukan keselamatan bermula petang semalam dan seluruh kawasan perniagaan itu dipagari dengan kawat berduri.

Beliau berkata, beberapa premis perniagaan juga dilihat tidak beroperasi manakala sebahagian besar dibuka seperti biasa.

“Saya dapat melihat penghuni sedang berbaris bagi menjalani ujian dan semua dalam keadaan teratur. Petugas kesihatan dan keselamatan sentiasa berada di sisi mereka bagi memberikan penerangan atau penjelasan yang diperlukan sebelum ujian saringan dibuat.

“Saya juga tertarik dengan khidmat Jabatan Penerangan yang menguar-uarkan langkah yang perlu diambil penghuni seperti bila perlu turun serta apa yang perlu dibawa yang dihebahkan melalui pembesar suara van jabatan itu.

“Langkah ini dilihat amat membantu dalam usaha pihak kesihatan dan keselamatan memastikan proses saringan berjalan lancar dalam keadaan jumlah kehadiran yang ramai,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah mengambil langkah awal dengan menyediakan 500 bakul makanan untuk diedarkan kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, langkah itu membantu mengurangkan kegusaran penduduk yang bimbang mengenai bekalan makanan terputus.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here