PKPD pilihan akhir di Kuala Lumpur jika kes Covid-19 terus meningkat

0
348
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kerajaan mungkin melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Lumpur sekiranya kes Covid-19 di kawasan tersebut terus meningkat naik.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut hanya akan ditentukan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan penilaian risiko di kawasan itu.

“Di Selangor sekarang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tapi berlaku peningkatan kes macam di Sepang dan kita lakukan PKPD di lokasi itu.

“Di Kuala Lumpur berkemungkinan berlaku perkara sama, KKM akan melakukan penilaian risiko dilakukan di kawasan itu.

“Setelah buat penilaian risiko, berdasarkan jumlah kes yang ada, berdasarkan kebarangkalian jangkitan di situ, jadi KKM akan cadangkan pada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kita akan tentukan berdasarkan cadangan daripada KKM,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, buat masa tiada cadangan baharu PKPD di kawasan tertentu dan Kuala Lumpur masih diletakkan di bawah PKPB.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bercadang untuk memperketatkan pemantauan terhadap pekerja asing dalam sektor pembinaan dan industri lain berikutan peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan mereka.

Ismail Sabri berkata, usaha itu perlu dilakukan bagi memastikan virus tersebut tidak merebak ke dalam komuniti.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan menunggu pembentangan lanjut daripada Kementerian Sumber Manusia bagi melihat perkara itu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here