
KUALA LUMPUR – Polis berjaya memberkas suspek kes samun dan bunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Wan Hassan Wan Embong, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, mereka ditahan selepas usaha memburu suspek dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah kita percaya kes bunuh dan samun ini dapat diselesaikan. Maklumat lanjut akan dimaklumkan nanti,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Dalam kejadian awal pagi semalam, Wan Hassan, 71, maut ditetak perompak dalam kejadian rompakan di rumahnya di Bukit Bandaraya, di sini.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi tadi itu rumah yang dihuni mangsa dan isterinya, Sarifah Yusof, 70, dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang.
Suspek yang tidak memakai topeng meminta duit menyebabkan mangsa cuba melawan sebelum ditetak di muka dan leher manakala isteri mangsa ditetak di bahagian bahu kanan.