PRK Parlimen Gerik dan DUN Bugaya diadakan serentak 16 Januari

0
151


CYBERJAYA- Pilihan raya kecil (PRK) bagi Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya akan diadakan secara serentak pada 16 Januari tahun hadapan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, penamaan calon untuk kedua-dua PRK pula pada 4 Januari dan pengundian awal pada 12 Januari.

“PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah bagi mengisi kekosongan di kerusi-kerusi berkenaan,” katanya di Putrajaya hari ini.

Penyandang kerusi Parlimen Gerik Allahyarham Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia pada 16 November, manakala penyandang kerusi DUN Bugaya Allahyarham Manis Muka Mohd Darah kembali rahmatullah pada 17 November

Menurut Abdul Ghani, bagi proses PRK Parlimen Gerik, SPR telah melantik Pegawai Daerah Hulu Perak dari Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Meor Shahibul Fadilah Zainuddin sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Parlimen P.054.

“SPR juga bersetuju menubuhkan Tiga Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen. 

“Pasukan PP-KPR ini akan dianggotai oleh wakil- wakil daripada pihak polis, PBT, wakil-wakil calon yang bertanding. SPR akan menggunakan Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

“Sebanyak 1,309 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Parlimen P.054 Gerik, Perak. Manakala sebanyak 23 buah Pusat Mengundi yang mengandungi kesemuanya 81 saluran dan lima buah pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi tujuh tempat mengundi awal akan digunakan,” katanya.

Sementara itu katanya, SPR telah melantik Pegawai Daerah Semporna dari Pejabat Daerah Semporna Benedict Asmat sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN N.66 Bugaya,

“SPR juga bersetuju menubuhkan satu Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya untuk memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.

“Pasukan ini akan dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding. SPR akan menggunakan Dewan Masyarakat Semporna sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here