Pusat Mediasi urus pertikaian komersil ekoran Covid-19 mula beroperasi

0
116
Takiyuddin Hassan. Foto :BERNAMA

PUTRAJAYA – Kerajaan mewujudkan pusat pengantaraan (mediasi) bagi menangani pertikaian komersil melalui Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 [Akta 829].

Pusat Mediasi Covid-19 (PMC-19) yang akan menguruskan sebarang pertikaian komersil tidak melebihi jumlah RM300,000 itu akan mula beroperasi dan menerima permohonan bermula hari ini (11 November 2021) .

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pemohon di bawah kategori B40, M40 serta PKS Mikro dan Kecil layak menerima subsidi bagi menampung kos khidmat pengantaraan.

“Bagi tujuan ini, kerajaan bersetuju agar sebuah pusat pengantaraan (mediation centre) diwujudkan khusus untuk menangani pertikaian komersil bagi kategori kontrak sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 7 [Akta 829],” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penetapan syarat permohonan pertikaian yang diperuntuk melalui Seksyen 7 [Akta 829] itu antaranya;

  1. Kontrak kerja pembinaan atau kontrak perundingan pembinaan dan apa-apa kontrak lain yang berhubungan dengan pembekalan bahan, kelengkapan atau pekerja pembinaan yang
    berkaitan dengan suatu kontrak pembinaan.
  2. Bon pelaksanaan atau yang setara diberikan menurut
    suatu kontrak pembinaan atau kontrak pembekalan.
  3. Kontrak perkhidmatan professional.
  4. Pajakan atau sewaan harta tak alih bukan kediaman.
  5. Kontrak acara bagi penyediaan mana-mana tempat,
    penginapan, kemudahan, pengangkutan, hiburan, katering atau barangan atau perkhidmatan lain termasuklah, bagi manamana mesyuarat perniagaan, perjalanan insentif, persidangan, pameran, acara jualan, konsert, pertunjukkan, perkahwinan, parti atau perhimpunan sosial lain atau acara sukan, bagi peserta, orang yang hadir, tetamu, penaung atau penonton bagi perhimpunan atau acara itu.
  6. Kontrak oleh pengusahaan pelancongan yang sebagaimana
    yang ditakrifkan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] dan kontrak bagi penggalakan pelancongan di Malaysia.
  7. Kontrak yang berhubungan dengan ziarah keagamaan.

Syarat-syarat kelayakan permohonan boleh disemak menerusi laman sesawang www.pmc19.gov.my.

Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 12 Ogos lalu.

Rang undang-undang itu bertujuan untuk menyokong Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin PKS dan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Masa Pendek yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac, 6 April dan 5 Jun lalu sebagai langkah mengurangkan kesan kewangan dan sosial ekoran penularan wabak itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here