Remaja wanita dipercayai dibunuh rakan sendiri

0
446
Mangsa, Siti Nur Surya Ismail

HULU TERENGGANU – Kes pembunuhan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun di Kampung Lubuk Batu, Telemong di sini pada Ahad lalu dipercayai dilakukan oleh sahabat baik mangsa.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daut berkata, seorang remaja perempuan tampil ke Balai Polis Telemong untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan semalam.

“Suspek telah datang ke balai ditemani ibunya bagaimanapun memberikan keterangan yang mencurigakan mengenai kejadian.

“Terdapat juga beberapa kecederaan termasuk kesan gigitan pada lengan dan badan suspek sebelum ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Susulan penahanan itu, polis telah menemui beberapa barang dipercayai milik mangsa, Siti Nur Surya Ismail termasuk wang tunai dan peralatan solek.

Katanya, penahanan juga dibuat berdasarkan bukti di lokasi kejadian dan rakaman litar tertutup (CCTV) berhampiran rumah mangsa.

Menurut Mohd. Adli, dalam pengakuan suspek dikatakan telah pergi ke rumah mangsa dengan menaiki motosikal dan telah berlaku pergaduhan ketika suspek dan mangsa bertemu.

“Ketika bersembang di ruang tamu, berlaku kata-mengata yang menimbulkan kemarahan sehingga mencetuskan pergaduhan.

“Suspek dikatakan mengambil pisau di ruang tamu dan bertindak mengelar beberapa kali pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus,” katanya.

Bapa mangsa di lokasi kejadian ketika siasatan dilakukan pihak polis.

Dalam kejadian itu, mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan pergelangan tangan putus oleh adik bongsunya ketika baru pulang dari sekolah.

Mangsa ketika itu berada di rumah bersama ibu yang terlantar sejak tujuh tahun lalu akibat penyakit kanser otak.

Semalam tular gambar mangsa bersama suspek yang merupakan kenalan dan sahabat baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here