Restoran terkenal di Subang Jaya didakwa jual mi kari daging babi diserbu

0
9768
Sampel mi kari yang diambil untuk pemeriksaan

CYBERJAYA – Sebuah restoran terkenal di Subang Jaya, Selangor diserbu oleh
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor susulan tular sebuah video mendakwa mi kari yang dijual premis itu mengandungi daging babi.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pemeriksaan dijalankan lima anggota penguat kuasa itu, bagaimanapun mendapati restoran berkenaan mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang sah sehingga 30 Nov ini.

“Menurut pengurus restoran itu, beliau mempunyai tiga pekerja warga Myanmar yang bertugas sebagai tukang masak.

“Pemeriksaan lanjut ke bahagian dapur restoran menemukan bahan mentah yang digunakan untuk menyediakan menu mi kari kepada pelanggan. Bahan mentah utama iaitu daging disyaki daging ayam disita, bagi tujuan ujian makmal dan keterangan oleh pakar,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhamad Zikril Azan berkata, turut disita semasa pemeriksaan itu adalah Sijil Halal JAKIM dan dokumen penghantaran bahan mentah oleh pembekal.

Katanya, pengurus premis memaklumkan bekalan bahan mentah dipesan oleh pihak ibu pejabat syarikat restoran terbabit.

Muhamad Zikril Azan berkata, kes disiasat di bawah kesalahan Perintah 3(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan jika disabitkan dengan kesalahan, boleh didenda seperti di bawah Perintah 5 Perintah Perihal Dagangan 2011.

Beliau berkata, KPDNHEP Selangor akan terus memantau serta memeriksa bagi memastikan mana-mana pemegang sijil halal JAKIM sentiasa mematuhi peraturan selain menekankan aspek kesucian dan kebersihan bagi menjamin kemaslahatan pengguna Muslim di negara ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here