Saringan Covid-19 bagi pekerja asing bermula 1 Disember ini

0
65
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Program Saringan Covid-19 Bagi Pekerja Asing yang dibuat secara bersasar berdasarkan lokaliti zon merah yang mempunyai kepadatan pekerja asing tinggi akan dilaksanakan bermula 1 Disember ini.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan, berkata saringan ini akan dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama klinik dan hospital swasta.

“Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, menetapkan prosedur pelaksanaan saringan Covid-19 kepada semua pekerja asing bermula dengan mereka yang bekerja di Selangor, Kuala Lumpur dan Labuan, selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang serta Sabah.

“Ujian saringan ini akan dijalankan secara berjadual dan berperingkat dengan memberi tumpuan kepada daerah berisiko tinggi mulai 1 Disember ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, bagi daerah Klang dan Seremban ujian saringan akan bermula 1 Disember, manakala lain-lain daerah zon merah di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang akan bermula 9 Disember ini.

“Bagi seluruh Sabah, Labuan dan lain-lain daerah di negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pula akan bermula 16 Disember,” katanya.

Saravanan berkata, ujian saringan akan dilakukan menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan Kementerian Kesihatan dan kit ujian itu akan dibiayai PERKESO, manakala majikan perlu membiayai kos perkhidmatan dikenakan klinik atau hospital.

Katanya, bagi pekerja asing yang bukan pencarum PERKESO, kos saringan ditanggung sepenuhnya majikan.

Beliau berkata, program ini akan dikuatkuasakan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bagi mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here