Sejak bila peruntukan kuil jadi ‘hak’ setiap tahun?

0
332

CYBERJAYA – Ketiadaan peruntukan untuk kuil dalam Belanjawan kedah 2021 yang dilabel sebagai layanan ‘kelas ketiga’ adalah bukti sikap ultra kiasu sesetengah masyarakat yang masih tidak mahu berkompromi dalam memahami hak beragama di negara ini.

Penceramah bebas, Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah berkata, pemberian dana yang diberhentikan itu tidak seharusnya dicop sebagai penganiayaan kerana sudah bertahun-tahun kerajaan menyediakan dana rumah ibadat kepada kaum bukan Islam.

Sedangkan katanya, di negara India yang mempunyai penganut Hindu terbesar, semua pembinaan dan penyenggaraan kuil adalah tanggungjawab individu bukan tanggungjawab kerajaan.

“Cubalah fahami kedudukan ekonomi kerajaan gara-gara wabak Covid-19.

“Sudahlah kuil Hindu paling banyak di Malaysia berbanding surau dan masjid, kenapa pula perlu diberi dana setiap tahun?

“Kedah pula adalah antara negeri yang paling banyak mendirikan kuil di kawasan tanah kerajaan berbanding surau dan masjid.

“Sudahlah tanah kerajaan digunakan bagi pembinaan kuil tanpa kebenaran, bantuan pula disediakan bagi tujuan penyelenggaraan,” katanya.

Dr. Ridhuan berkata, peruntukan dana kepada rumah-rumah ibadat selain untuk agama Islam tidak boleh dijadikan isu kerana peruntukan untuk masjid dan surau telah termaktub dalam Perlembagaan.

Bahkan katanya, peruntukan kerajaan selama ini untuk kaum bukan Islam sudah lebih daripada memadai dan ia tidak boleh diandaikan sebagai ‘hak’ yang perlu diterima setiap tahun.

Justeru beliau hairan apabila ada yang membangkitkan isu ketiadaan peruntukan terhadap rumah ibadat bukan Islam di negeri Kedah dalam belanjawan yang dibentangkan minggu lepas.

“Mana nak jumpa toleransi dan kebaikan seperti ini? Pergilah ke negara lain buat perbandingan.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia. Bersyukurlah. Jangan terlalu ultra kiasu. Sikap ini tidak membawa keharmonian antara kaum. Berpada-padalah,” katanya memetik laporan Ismaweb baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here