Sekolah di seluruh negara ditutup bermula esok hingga akhir persekolahan

0
193
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Semua sekolah termasuk kolej vokasional di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara akan ditutup bermula esok sehingga hari terakhir persekolahan tahun ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Radzi Jidin berkata, ia berikutan pengumuman kerajaan semalam untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang bermula esok sehingga 6 Disember ini.

“KPM telah memutuskan bahawa semua sekolah di Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak akan turut ditutup bermula esok sehingga ke hari akhir persekolahan tahun ini iaitu pada 17 Disember ini bagi negeri Kumpulan A dan 18 Disember ini bagi negeri Kumpulan B.

“Langkah ini diambil bagi membantu usaha Kerajaan memutuskan rantaian penularan jangkitan wabak Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam pada itu, katanya, sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengajaran dan pembelajaran akan tetap diteruskan secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid.

Beliau berkata, pentadbir sekolah perlu memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Katanya, sepanjang tempoh itu juga, semua guru perlu kekal berada di stesen tempat bertugas masing-masing.

“Bagi murid yang tinggal di asrama pula, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil mereka untuk pulang ke rumah masing-masing.

“Walau bagaimanapun, murid boleh terus kekal berada di asrama sementara menunggu untuk diambil oleh ibu bapa atau penjaga. Di sepanjang tempoh tersebut, murid akan berada di bawah pengawasan warden asrama. Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi takwim penggal dan cuti persekolahan tahun hadapan kekal seperti yang diumumkan sebelum ini.

Beliau berkata, penggal persekolahan akan bermula pada 20 Januari tahun hadapan dan semua murid sekolah rendah akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut.

“Bagi sekolah menengah pula, murid Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 serta semua murid kolej vokasional akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada tarikh yang sama.

“Manakala, murid Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh yang sama tetapi secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid.

“Mereka akan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac tahun hadapan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here