Sultan Ibrahim kurnia X70, Myvi kepada kakitangan hospital

0
249
Kakitangan HSA bersama kenderaan kurnian Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan mengurniakan lima buah kereta kepada kakitangan Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Pengurniaan itu adalah sebagai penghargaan atas dedikasi, komitmen dan profesionalisme yang tinggi dalam perkhidmatan mereka.

Sultan Ibrahim melalui hantaran Facebook baginda menjelaskan, pengurniaan sebagai ucapan terima kasih itu berupa tiga buah Proton X70 dan 2 buah Perodua MyVi.

Penerima Proton X70 adalah Pengarah Hospital, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad; Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan & Trauma, Dr. Ismail Jumali dan Pegawai Perubatan Unit Kardiotorasik Anestesia, Dr. Mohd Firdaus Shamsuddin.

Kakitangan HSA bersama kenderaan kurnian Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Kakitangan HSA bersama kenderaan kurnian Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Manakala Ketua Penyelia Jururawat, Sarinah Sukor dan Penyelia Jururawat, Fauziah Sulaiman masing-masing menerima sebuah Perodua Myvi.

Semua kenderaan diserahkan oleh Datuk Perdana Dalam, Kolonel (B) Datuk Mohamed Perang Musa selaku wakil kepada Tuanku Sultan Ibrahim.

“Patik memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Ke Bawah Duli Tuanku atas kurniaan Baginda ini kepada patik dan kakitangan sekalian.

“Patik mendoakan Tuanku serta Kerabat DiRaja sentiasa sihat sejahtera. InsyaAllah, kami akan terus berikan perkhidmatan terbaik kepada Tuanku sekeluarga serta rakyat jelata,” kata Dr. Mohtar kepada Royal Press Office (RPO) selepas menerima kenderaannya.

Pada September lalu, Sultan Ibrahim berkenaan mengurniakan 10 kereta Perodua Myvi kepada jururawat HSA atas perkhidmatan mereka kepada keluarga Diraja Johor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here