Sungai tercemar: Berapa lama lagi penduduk Lembah Klang perlu bersabar?

0
41
Aksi Menteri Besar Selangor menghidu air yang tercemar kini menjadi sindiran warga maya

MIMPI ngeri penduduk di Lembah Klang kembali lagi. Jangkaan kerajaan negeri Selangor, dengan pindaan enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk menaikkan denda pada mereka yang mencemarkan sumber air sehingga maksimum RM1 juta mampu mengatasi masalah pencemaran air meleset jauh.

Buktinya, hari ini satu lagi kes pencemaran di Sungai Selangor berlaku sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, SSP 1, 2, dan 3 terpaksa dihenti tugas.

Lebih satu juta akaun pengguna air pula terpaksa mengharapkan ihsan lori air datang sekerap mungkin esok untuk menghantar air.

Bagi yang duduk di rumah jenis pangsapuri dan flat sudah pasti terhambur segala jenis kata-kata makian selepas mengetahui bermula petang tadi bekalan air sudah terputus. Entah berapa hari lagi perlu ditunggu.

Jika diimbas semula jaminan Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari selepas negeri ini ketiadaan air beberapa bulan lalu akibat kilang haram yang membuang sisa kilang ke dalam sungai, sudah pasti masing-masing lega.

Namun, janji tinggal janji umpama janji dicapati. Segala jaminan tinggal omangan kosong. Langsung tiada tindakan tuntas diambil.

Kilang haram masih gah berdiri. Paling tidak dapat diterima apabila Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han mengesahkan terdapat sebanyak 5,589 kilang tanpa kebenaran dikesan beroperasi di seluruh Selangor dengan 869 daripadanya berada di sekitar sungai.

Bukan satu, dua atau pun 10 tapi lebih 5,000 kilang tanpa kebenaran atau lebih mudah disebut sebagai kilang haram wujud di negeri ini.

Walaupun exco negeri tidak menyebut ia sebagai premis haram dan menggunakan istilah lebih lembut. Hakikatnya jika beroperasi tanpa kebenaran, sudah pasti ia haram.

Berbalik kepada kilang-kilang ‘haram’ ini, kenapakah lambat sangat tindakan diambil? Kenapa mereka kebal sangat berbanding kesalahan yang dilakukan orang lain.

Sebagai contoh pihak berkuasa tempatan (PBT) sangat aktif menarik kereta mereka yang meletak di tepi jalan tanpa belas kasihan.

Penulis sendiri yang bekerja di Cyberjaya iaitu sebuah bandar di Selangor, menyaksikan sendiri betapa pantasnya penguatkuasa melakukan kerja. Caj yang dikenakan pula bukannya murah. Boleh cecah RM300 kalau tak melutut merayu minta dikasihani.

Yang hairannya, operasi kilang-kilang haram ini hanya dibutakan mata dan dipekakkan telinga oleh PBT. Kenapa ada undang-undang pilih kasih?

Kilang haram di Rawang yang menyebabkan pencemaran Sungai Gong beberapa bulan lalu pun tidak diketahui sama ada sudah dirobohkan atau belum. Tiada siapa pun tahu.

Penulis cuba mencari berita mengenai perobohan kilang tersebut sejak hari pertama berita itu diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, tapi sampai sekarang belum ketemu lagi. Mungkin hijab penulis tertutup untuk membaca laporan berita tersebut.

Jadi apa lagi yang kita boleh harapkan jika harapkan pagar, pagar makan padi.

Siapkan sajalah tong air besar untuk buat persiapan sekiranya bekalan air terputus lagi. Yang pasti kejadian pencemaran air petang tadi bukan yang terakhir, bersedialah untuk menghadapi situasi sama di bulan-bulan akan datang.

Bertabahlah warga Lembah Klang.-MamuHaria

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here