10 suspek utama tetak Dr Wan Hassan diberkas

0
355
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan sebanyak 10 orang individu dipercayai terbabit dalam kes samun dan tetak bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Wan Hassan Wan Embong, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kesemua suspek termasuk suspek utama ditahan kerana disyaki terlibat dalam dua kes samun termasuk rumah Wan Hassan.

“Ya, ada tangkapan, setakat semalam, 10 orang termasuk suspek utama kes ini.

“Semua suspek, termasuk suspek utama itu ditahan menerusi beberapa siri serbuan oleh sepasukan polis,” katanya hari ini.

Menurutnya yang dipetik Astro Awani, kesemua suspek ditahan selepas usaha memburu suspek dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Wan Hassan dilaporkan maut ditetak perompak dalam kejadian rompakan di Bukit Bandaraya, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, rumah dihuni mangsa dan isteri, Sarifah Yusof, 70, dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang.

Suspek yang tidak memakai topeng memaksa mangsa memberikannya wang.

Mangsa cuba melawan namun ditetak di muka dan leher manakala isterinya ditetak di bahagian bahu kanan.

Satu sidang media oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin mengenai kes dan tangkapan itu dijangka diadakan hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here