Tarikh peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM ditunda tahun hadapan

0
456
Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Radzi Jidin

CYBERJAYA – Tarikh bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk tahun ini akan ditunda pada tahun hadapan.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Radzi Jidin berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa.

“Kementerian Pendidikan telah membuat keputusan untuk meminda tarikh peperiksaan tersebut.

“Peperiksaan SPM, SVM, STAM akan bermula pada 22 Februari 2021 manakala, peperiksaan STPM pula akan bermula pada 8 Mac 2021,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Radzi berkata, perincian lanjut tentang semua peperiksaan awam ini akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat.

Radzi berkata, bagi membantu calon-calon peperiksaan awam tahun ini membuat persediaan secukupnya sebelum menduduki peperiksaan, pihaknya memutuskan bahawa mereka akan menyambung persekolahan secara bersemuka di sekolah masing-masing bermula 20 Januari tahun hadapan.

“KPM berharap ruang yang ada ini akan dapat memberi manfaat kepada calon yang terkesan dengan penutupan sekolah.

“Kesemua ketetapan ini juga terpakai kepada sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

“Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk mengikuti ketetapan ini,” katanya.

SElain itu, katanya, berkaitan peperiksaan percubaan SPM, kerja kursus serta pentaksiran yang telah dijadualkan sehingga Disember ini yang masih belum diselesaikan, KPM akan menjadualkan semula semua pentaksiran tersebut dan akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, katanya, kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan institusi peringkat tertiari awam yang lain bagi tahun 2021 akan dijadualkan semula.

Bagaimanapun, katanya, penjadualan semula peperiksaan awam ini tidak akan menjejaskan kemasukan murid ke institusi peringkat tertiari awam serta kemasukan murid ke institusi pengajian tinggi awam melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Mengenai kemasukan murid ke sekolah khusus termasuk sekolah berasrama penuh, sekolah menengah kebangsaan agama, sekolah menengah teknik, kolej vokasional dan Maktab Tentera Di Raja.

“Untuk makluman, pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here