Tiada DNA babi dalam mi kari Oldtown White Coffee

0
223
Sampel mi kari yang diambil daripada Oldtown White Coffee baru-baru ini

CYBERJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan tiada unsur DNA babi dalam daging mi kari yang dijual di sebuah restoran terkenal di Malaysia.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, hasil daripada analisis dan ujian makmal Jabatan Kimia Malaysia yang dijalankan terhadap sampel daging itu hanya mengesan unsur DNA ayam.

“Melalui keputusan analisa terbabit, pihak restoran yang disiasat tidak melakukan kesalahan atau melanggar undang-undang di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 atau Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini tular dakwaan oleh seorang warga maya yang mendakwa mi kari yang dibeli daripada restoran Oldtown White Coffee mengandungi daging babi.

Susulan itu, penguatkuasa KPDNHEP telah melakukan pemeriksaan mengejut terhadap premis Oldtown White Coffee di sekitar Lembah Klang.

Sementara itu, KPDNHEP turut menggesa orang ramai supaya sentiasa bertanggungjawab dan tidak menyebarkan berita tidak sahih ke laman media sosial sehingga boleh mendatangkan kesan negatif kepada pihak berkenaan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here