Tiada lagi kuarantin 14 hari bagi individu yang tiba dari Sabah

0
211
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Berkuat kuasa esok mana-mana individu yang tiba dari Sabah ke negeri lain di Malaysia tidak perlu lagi menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, individu berkenaan hanya perlu menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas dari Sabah ke negeri lain.

Beliau berkata, sekiranya mereka positif ujian pengesanan Covid-19 atau sekiranya bergejala, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan keluar dari Sabah.

“Bagi yang positif Covid-19, mereka akan dirujuk ke hospital untuk isolasi, rawatan dan pemantauan manakala bagi individu yang bergejala akan dirujuk untuk menjalani pemeriksaan.

“Seterusnya bagi pengembara yang dibenarkan meneruskan perjalanan keluar dari Sabah, mereka akan melalui saringan demam dan gejala, pemeriksaan laporan ujian swab pengesanan Covid-19 dan diwajibkan penggunaan MySejahtera setibanya di pintu masuk negara di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

“Sekiranya mereka tidak bergejala dan laporan ujian makmal Covid-19 disahkan negatif, pengembara ini tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba

Beliau berkata, langkah itu diambil selepas mengambilkira situasi semasa yang mana kes harian Covid-19 di Sabah semakin menurun.

Pada masa sama, katanya, perkara itu turut dibincangkan di Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang semalam.

Sebelum ini, pada 11 Oktober lalu kerajaan melaksanakan perintah kuarantin wajib bagi individu yang tiba dari Sabah berikutan kenaikan mendadak kes Covid-19 di negeri tersebut.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here