Tidak timbul soal takut mati, semua manusia pasti mati – Dr. Noor Hisham

0
307
Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menegaskan tidak timbul isu sama ada beliau atau petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak turun ke lapangan kerana takut mati dijangkiti Covid-19.

Sambil membaca sepotong ayat al-Quran daripada surah Ali Imran, ayat 185, Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, semua manusia pasti akan mati sama ada turun padang atau tidak

“Di KKM kita sudah buat perancangan khusus di Sabah, saya sendiri sudah turun ke Sabah pada akhir Ogos lalu untuk melihat kesiapsagaan kita dan semasa Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Malah, saya juga sudah arahkan timbalan saya untuk turun ke sana pada minggu lepas dan Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood juga turun ke sana dua minggu lepas untuk melihat kesiapsagaan kita dari segi pengurusan Covid-19 dan isu-isu yang timbul di Sabah.

“Jadi tak timbul isu kita takut mati, setiap nyawa pasti akan merasai mati, Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Sebagai orang Islam kita terima kematian di mana-mana berlaku tak kira turun padang atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kritikan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing dalam Dewan Rakyat hari ini yang mengeluarkan kenyataan dengan menyifatkan Ketua Pengarah Kesihatan itu “takut mati” kerana tidak hadir sendiri ke Sabah untuk melakukan pengawasan wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, apa yang paling penting bagi petugas-petugas barisan hadapan KKM pada masa sekarang ialah untuk memutuskan rantaian Covid-19 meskipun terdapat pihak yang mengkritik KKM.

“Apa yang penting kita pasang niat untuk laksanakan tugas kita, niat kita ialah untuk putuskan rantaian Covid-19 dalam negara. Inilah tujuan utama kita.

“Kita boleh selisih pendapat tapi apa yang kita laksanakan adalah untuk putuskan penularan Covid-19 dan selamatkan negara kita daripada jangkitan Covid-19 dan kematian,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here