[VIDEO] Fine Dining halal di Casa De Madani

0
272
Restoran Casa De Madani di Malakat Mall, Cyberjaya.

CYBERJAYA – Antara tempat makan terbaik yang menjadi pilihan untuk meraikan hari atau insan istimewa adalah di restoran fine dining yang menyajikan bukan sahaja makanan berkualiti bahkan dalam suasana cukup eksklusif.

Namun bagi umat Islam yang mengutamakan sajian halal, mencari sebuah restoran fine dining yang bebas daripada menu syubhah sudah tentu bukan sesuatu yang mudah.

Restoran seumpama itu yang kebanyakannya beroperasi di hotel-hotel bertaraf lima bintang sudah tentu tidak lepas daripada penyajian hidangan beralkohol dan bahan mentah yang meragukan.

Menyedari keperluan terhadap sajian eksklusif, Malakat Mall melalui bahagian Makanan dan Minuman (F&B) menawarkan pengalaman fine dining halal yang pertama di negara ini di Restoran Casa De Madani.

Terletak bersebelahan dengan pintu masuk Malakat Mall, Cyberjaya, restoran dua tingkat yang dibuka sejak Julai lalu menawarkan pengalaman santapan yang cukup bernilai kepada pelanggan.

Casa De Madani dibarisi kumpulan cef berpengalaman luas dalam bidang kulinari, dengan pengiktirafan dari dalam dan luar negara.

Fine Dining dengan layanan eksklusif krew kabin
Restoran Casa De Madani di Malakat Mall, Cyberjaya.

Salah seorang daripadanya adalah Cef Azizan Shukri yang pernah dinobat sebagai antara 500 cef terbaik dunia.

Selain keenakan pelbagai menu gaya Eropah moden yang dimasak segar dan suasana premis yang didekorasi serba mewah, pelanggan juga diberi layanan bertaraf lima bintang oleh pelayan yang merupakan bekas petugas krew kabin.

Sebahagian besar daripada mereka adalah bekas kakitangan syarikat penerbangan tempatan dan luar negara yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 baru-baru ini.

Pengarah F&B Malakat Mall, Aziz Juhari berkata, selepas mencurahkan seluruh komitmen pada pembangunan Casa De Madani yang memakan masa hampir setengah tahun, beliau kini berbangga melihat kelahiran jenama restoran fine dining milik orang Islam.

“Selamat datang ke restoran fine dining halal pertama di Malaysia. Jenama ini bukan sahaja lahir daripada percubaan tetapi adalah hasil daripada kepakaran cef-cef yang ternama dan berpengalaman luas.

“Tidak dinafikan, cef-cef yang kita ada ini adalah tulang belakang di sebalik Casa De Madani yang kini mula beroperasi,” katanya.

Cef menyediakan sajian pencuci mulut di bahagian dapur.

Atas keyakinan itu katanya, restoran yang beroperasi bersebelahan dengan amphiteater Malakat Mall itu sedia menyediakan servis terbaik kepada para pelanggan.

Dalam premis yang digayakan dengan penuh elegan dan eksklusif, Casa De Madani adalah pilihan yang tepat untuk meraikan saat-saat istimewa bersama keluarga, sahabat dan rakan niaga.

“Tidak mudah untuk kita mencari restoran fine dining yang halal tanpa arak di Kuala Lumpur.

“Bagi mereka yang merancang untuk meraikan hari-hari istimewa, bolehlah mencuba pengalaman di Casa De Madani dan saya pasti anda akan berpuas hati,” katanya.

Set High Tea yang ditawarkan pada harga RM75 satu set.

Sementara itu, Chef De Cuisine, Mohd Shahrul Nizam Zulkifli berkata, selain menu-menu makan malam dan tengahari yang dihias setaraf dengan restoran fine dining terkemuka, Casa De Madani turut menyediakan pakej minum petang kepada pelanggan.

Hidangan High Tea untuk dua orang pada harga RM75 itu menawarkan pilihan minuman tea atau kopi yang disajikan dengan pelbagai kek, sandwich, biskut dan pemanis mulut.

“High Tea kami bermula dari pukul 2 petang sehingga 6 petang setiap hari. Jaminan kami adalah hidangan halal dan bersih dalam suasana yang serba eksklusif,” katanya.

Barisan cef dan kakitangan Restoran Casa De Madani bersama Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim (depan, tiga dari kiri).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here