Warga kota dibenar buka gerai bermula Ahad ini di mana-mana lokasi bersesuaian

0
328
Tan Sri Annuar Musa (kiri) bercakap sesuatu kepada penerima bantuan Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin

KUALA LUMPUR – Bermula Ahad ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kebenaran kepada mana-mana penduduk di ibu negara untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, bagaimanapun peniaga perlu memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman web DBKL yang ditawarkan secara percuma.

“Mulai Ahad, 15 November ini, Kuala Lumpur akan menjadi ‘wilayah bebas berniaga’, sesiapa yang ingin berniaga tidak kira sepenuh masa atau separuh masa boleh memilih tempat yang sesuai, misalnya depan rumah atau di tepi jalan kawasan perumahan.

“Permohonan lesen itu bertujuan untuk makluman dan rekod data DBKL sahaja. Pemohon akan mendapat lesen sementara secara automatik dan kemudian DBKL akan membuat pemantauan,” katanya seperti yang dipetik daripada Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya hari ini, Annuar telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah untuk membuat arahan bertulis kepada DBKL, Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan untuk melaksanakan program Wilayah Bebas Berniaga (WIBB) dengan baik.

“Saya juga minta pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sediakan talian dan kaunter utk melayani pertanyaan dan permohonan dengan efisien.

“Perlu norma baru dalam bertugas,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here