Yang di-Pertuan Agong perkenan anugerah Pingat Gagah Berani

0
264


CYBERJAYA- Dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditembak penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis dianugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) dan dinaikkan pangkat kepada Sarjan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penganugerahan PGB itu telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kementerian Dalam Negeri juga memperakukan supaya mendiang Koperal Baharuddin Ramli dinaikkan pangkat kepada Sarjan dan anggota PGA yang cedera, Koperal Norihan Tari dinaikkan pangkat yang sama secara medan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS- Kuala Krai) yang mahu Kementerian Dalam Negeri memperincikan insiden serangan terhadap dua anggota PGA itu di Dewan Rakyat hari ini. 

Memperincikan kejadian itu, Hamzah berkata, dalam kejadian 3.10 pagi pada 24 November lalu, dua anggota PGA daripada skim Orang Asli Senai Praaq sedang menjalankan risikan di kawasan pintu A3, pos tembok sempadan 9, Padang Besar, Perlis. 

“Ketika penugasan tersebut mereka terserempak dengan satu kumpulan penyeludup seramai 13 orang yang sedang menjalankan aktiviti penyeludupan.

“Dua anggota PGA tersebut diserang menggunakan senjata api dan kejadian berbalas tembakan telah berlaku. Dukacita dimaklumkan Koperal Baharuddin Ramli terkorban di tempat kejadian manakala Koperal Norihan Tari cedera parah terkena tembakan,” katanya. 

Hamzah berkata, selepas kejadian itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggeledah dan berjaya menahan dua penyeludup warga Thailand dan seorang lagi warga Thailand ditahan keesokan harinya. 

“Hasil siasatan lanjut, PDRM berjaya menahan 15 lagi suspek warga Malaysia dan seorang warga Thailand. 

“Ini menjadikan jumlah yang ditahan PDRM berjumlah 19 suspek yang terdiri daripada 15 warga Malaysia dan empat warga Thailand. 

“Selain itu, pihak berkuasa Thailand juga menahan empat suspek warga Thailand termasuk tiga yang cuba mendapatkan rawatan di hospital bagi kecederaan akibat tembakan,” katanya. 

Katanya ,siasatan awal PDRM mengesyaki kumpulan ini menyeludup dadah secara sistem barter dengan pertukaran daun ketum dari Malaysia dan dadah dari Thailand. 

“Saya menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan megambil tindakan tegas terhadap mereka terbabit,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here