Agong zahirkan harapan Belanjawan 2021 berpaksikan kebajikan rakyat

0
195
Tengku Zafrul ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, petang tadi. – twitter/tzafrul_aziz

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan supaya Benjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini bersifat inklusif serta komprehensif, dan berpaksikan kebajikan rakyat.

Harapan tersebut dizahirkan Baginda ketika menerima menghadap Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Istana Negara petang tadi.

Pada pertemuan yang berlangsung selama 70 minit itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat ringkas mengenai kedudukan ekonomi semasa dan fiskal negara, serta usaha Kementerian Kewangan menyediakan Belanjawan 2021 sejak Julai, melalui lebih 40 sesi libat urus melibatkan lebih 2,000 individu dan wakil perniagaan, termasuk wakil parti-parti politik negara.

“Seri Paduka menzahirkan penghargaan kepada kerajaan serta parti-parti politik di atas semangat bipartisan dan pemuafakatan yang telah ditunjukkan,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan, hari ini.

“Al-Sultan Abdullah berpendapat, amalan kematangan berpolitik dengan mengetepikan perbezaan dan kepentingan parti atau peribadi amat penting pada ketika ini demi keselamatan dan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat bencana wabak Covid-19,” kata kenyataan itu lagi.

Titah Baginda lagi, semangat itu adalah selaras dengan budaya syura yang dianjurkan oleh Islam sebagaimana dipamerkan oleh Raja-Raja Melayu dalam sesi Perbincangan Khas di Istana Negara pada 25 Okt lalu.

“Dalam keadaan situasi sukar dan genting ini, amat wajar kemaslahatan masyarakat umum mendahulukan kepentingan individu secara khusus.”

Sehubungan itu, Seri Paduka menzahirkan harapan agar semangat kerjasama yang dizahirkan oleh pelbagai pihak dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here