217 individu ditahan langgar SOP

0
118

CYBERJAYA -Sebanyak 217 individu ditahan semalam selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu 210 individu dikenakan kompaun manakala tujuh lagi direman.

“Antara kesalahan yang dilakukan termasuk tidak memakai pelitup muka membabitkan 99 individu, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (60).

“Selain itu, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (31), aktiviti pusat hiburan (17) dan lain-lain kesalahan (10),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 51,908 pemeriksaan semalam.

“Operasi itu bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di kawasan-kawasan yang terjejas Covid-19.

“Sebanyak 2,991 Pasukan Pematuhan membabitkan seramai 13,725 anggota membuat pemantauan di 4,040 pasar raya, 5,213 restoran serta 1,638 penjaja, 1,374 kilang, 3,586 bank dan 2,206 pejabat kerajaan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, turut dipantau, sebanyak 985 terminal pengangkutan darat, 219 terminal pengangkutan air serta 82 terminal pengangkutan udara.

Selain itu, Operasi Benteng yang dijalankan semalam berjaya menahan 67 pendatang asing tanpa izin (PATI), dua tekong serta merampas empat kenderaan darat dan lapan bot atau kapal.

Beliau berkata, sebanyak 121 Sekatan Jalan Raya (SJR) juga dilaksanakan semalam membabitkan Op PENAWAR yang dianggotai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang menjalankan sebanyak 51 SJR, sebanyak 61 SJR yang dijalankan melalui Op Benteng PDRM dan Op Benteng AKSEM menjalankan sebanyak sembilan SJR.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here