PH sepakat tolak bacaan ketiga Belanjawan 2021 esok

0
196

CYBERJAYA – Pakatan Harapan (PH) sepakat untuk menolak bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 yang dijadualkan esok di Dewan Rakyat.

Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga mengajak Ahli Parlimen kerajaan menolak bacaan kali ketiga itu.

“PH meneliti perkembangan politik mutakhir ini, terutama berkait perjalanan Parlimen, keabsahan kerajaan, dan isu-isu yang ditimbulkan di dalam perbahasan Belanjawan 2021.

“Rakyat Malaysia sedia maklum bahawa apa yang diumum Menteri Kewangan sama ada sewaktu pengumuman atau penggulungan Belanjawan 2021 mahupun dalam siri kenyataan media tidak memenuhi apa yang dipohon dan diharapkan ramai Ahli-Ahli Parlimen malah juga rakyat amnya. 

“Ini termasuklah isu KWSP, isu moratorium pinjaman bank, isu bantuan kepada petugas barisan hadapan (frontliners) dan yang terkesan akibat pandemik Covid-19, isu pendidikan anak-anak kita, pendapatan yang berkurangan, pekerjaan yang hilang, kos sara hidup yang makin meningkat dan banyak lagi,” kata kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan ditandatangani oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution (PKR), Datuk Dr. Hatta Ramli (Amanah) dan Anthony Loke (DAP).

Menurut kenyataan itu, PH sebelum ini telah menyatakan bahawa akan membahaskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa dan akhirnya akan membuat undian belah bahagi pada bacaan kali ketiga (esok).

“Oleh yang demikian, PH menggesa agar semua Ahli Parlimen, sama ada di sebelah Pembangkang mahupun dari kalangan penyokong kerajaan, yang memahami bahawasanya Belanjawan ini tidak menepati objektif dan matlamat untuk memerangi Covid-19, membantu rakyat, dan menghidupkan semula ekonomi, agar memilih untuk menolaknya pada bacaan kali ketiga esok,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here