46 anggota polis di Johor dibuang kerja

0
1358
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU – Sebanyak 46 anggota polis di Johor diambil tindakan dibuang kerja selepas terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah dan salah laku sepanjang tahun ini.

Tindakan itu dibuat di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 selepas siasatan dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah itu dijangka bertambah selepas pihaknya mengesan beberapa kesalahan oleh pegawai dan anggota polis negeri ini termasuk membabitkan penyalahgunaan dadah.

“Sepanjang tahun ini, JIPS Johor telah membuka 230 kertas siasatan tatatertib yang membabitkan 32 pegawai kanan, 246 pegawai rendah dan dua pegawai awam dengan kes salah laku merupakan yang paling tinggi iaitu 154 kes dan diikuti 45 kes dadah.

“Sehingga kini terdapat 45 pegawai dan anggota yang ditahan kerja, manakala 46 orang dibuang kerja.

“Tindakan buang kerja dijangka akan bertambah memandangkan masih terdapat kes tatatertib dalam siasatan dan juga dalam perbicaraan mahkamah. Kalau positif dadah, memang tindakan pembuangan kerja akan dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor hari ini.

Sementara itu, Ayob Khan memaklumkan, JIPS telah mengesan empat balai dan satu bahagian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Johor dengan anggotanya melebihi 30 peratus mempunyai masalah rekod integriti serta berpotensi menjadi masalah kepada balai dan cawangan berkenaan.

“Jumlah keseluruhan anggota terlibat merangkumi 263 pegawai dan anggota dengan mereka perlu mengikut program MyLiabiliti yang melibatkan sesi kaunseling dan runding cara di bawah Bahagian Agama dan Kaunseling IPK Johor.

“Selain itu, pada tahun ini sahaja terdapat 54 tangkapan ke atas anggota setelah pihak JIPS Johor melakukan ujian saringan air kencing secara mengejut.

“Malah, kita berjaya menangkap satu anggota polis terlibat kes curi kenderaan, satu anggota melindungi warga asing, dua orang pula terlibat pemerasan orang awam manakala satu kes pemilikan daun ketum,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here