Ahli Parlimen Paya Besar nafi sokong Anwar jadi PM

0
242
Gambar ahli Parlimen UMNO yang tersebar di media sosial yang mengaitkan mereka memberikan sokongan SD kepada Anwar sebagai Perdana Menteri

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Paya Besar daripada parti UMNO, Mohd Shahar Abdullah menafikan memberikan sokongan berbentuk akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, beliau sentiasa berpegang kepada keputusan parti untuk tidak menyokong Anwar dan parti DAP.

“Sebagai ahli parti UMNO dan ahli Parlimen daripada UMNO, apa jua keputusan parti UMNO saya akan terus pertahankan demi agama, bangsa dan negara.

“Saya juga akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dalam memastikan negara terus stabil dan kebajikan rakyat Malaysia terus terpelihara,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Semalam tersebar khabar angin kononnya 10 ahli Parlimen UMNO memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu menjadi Perdana Menteri sekali gus menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Selain Mohd Shahar, ahli Parlimen lain ialah Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Selain itu, nama Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria turut tersenarai.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here