ATM rampas dadah daripada PATI yang cuba bolosi sempadan negara

0
567
GAMBAR IHSAN ATM

CYBERJAYA – Kerjasama daripada orang awam membuahkan hasil bagi pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang mengawal sempadan negara, apabila maklumat yang disalurkan berjaya membantu mematahkan cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada membolosi sempadan negara.

Menurut Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan hari ini, maklumat yang diterima dan digabungkan bersama laporan daripada Pos Pemerhati, berjaya menumpaskan cubaan 35 PATI yang cuba untuk pulang, malam tadi.

Kesemua PATI yang ditahan, iaitu seramai 32 lelaki dan 3 wanita, berumur dalam lingkungan 21 hingga 57 tahun, dipercayai sedang menunggu ketibaan bot.

Dalam kejadian di pesisiran Pantai Kampung Sungai Rengit di Kota Tinggi, Johor itu, pemeriksaan ke atas PATI turut mendapati, salah seorang daripada mereka turut memiliki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 750 gram yang dibungkus dalam 15 bungkusan plastik.

Dianggarkan, nilai pasaran dadah yang dirampas adalah sebanyak RM41,250.00

Selain dadah, pihak ATM turut merampas pelbagai barangan kemas, jam tangan, telefon bimbit dan mata wang.

Nilai keseluruhan barangan dirampas termasuk dadah dianggarkan kira-kira RM110,422.26.

Kesemua PATI yang ditahan kemudiannya dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here