[VIDEO] ATM tahan 9 PATI cuba masuki negara

0
179
GAMBAR IHSAN ATM

CYBERJAYA – Cubaan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk membolosi sempadan negara berjaya dipatahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), awal pagi tadi.

Kata Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan, kejadian tersebut berlaku di kawasan persisiran pantai Ladang Sungai Tengah 1 di Bandar Penawar, Johor.

ATM tahan 9 PATI cuba masuki negara

Lokasi ini merupakan sektor Op Benteng yang menjadi tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

“Pada kira-kira pukul 1.20 pagi, kami menerima maklumat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan anggota Pos Pemerhati berkenaan terdapat pergerakan bot yang mencurigakan di lokasi tersebut.

“Berikutan itu, satu tim gerakcepat (QRF) digerakkan ke lokasi berkenaan untuk melakukan operasi mengesan dan mengepung,” kata kenyataan itu sebentar tadi.

Hasil serbuan yang dilakukan berjaya menemui 8 PATI yang dipercayai baharu sahaja tiba sedang bersembunyi.

Susulan itu, tim QRF terus digerakkan bagi operasi penjejakan, dan hasilnya seorang lagi PATI yang pada awalnya berjaya meloloskan diri, berjaya ditahan pada pukul 8.15 pagi tadi.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada 7 lelaki dan 2 wanita berumur di antara 24 hingga 45 tahun.

Pihak ATM turut merampas sejumlah wang tunai dan barangan dengan nilai anggaran keseluruhan RM14,231.36.

Kesemua PATI tersebut kemudiannya dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia bagi tindakan lanjut.

“Pada waktu ini, tim QRF dengan sokongan tim dron dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) sedang melakukan operasi susulan bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” kata kenyataan itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here