Covid-19: 1,925 kes baharu, peningkatan kes di Pahang

0
135
Dr Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Selangor menyumbang jumlah kes positif Covid-19 tertinggi iaitu 747 kes daripada keseluruhan 1,925 kes yang dikesan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata,  pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini sebanyak 108,615 kes dengan jumlah 21,443 kes berkebolehjangkitan.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 625 kes atau 83.7 peratus adalah daripada kluster dan saringan kontrak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan,” katanya dalam kenyataan berkaitan Covid-19 hari ini.

Sementara itu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi negeri kedua tertinggi dengan 360 kes diikuti Pahang dengan 288 kes.

“Peningkatan kes di Pahang dipengaruhi oleh kluster yang berkaitan penjara iaitu Kluster Tembok Mempaga yang melaporkan 282 kes,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Sabah merekodkan 230 kes, Johor (110) dan Negeri Sembilan (60) serta Pulau Pinang (57).

“Kelantan melaporkan 31 kes, Perak (17), Melaka (sembilan), Kedah (lapan) dan Sarawak (empat). Masing-masing dua kes dikesan di Terengganu dan Putrajaya,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak 307 kes yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara.

“Kluster Tembok Mempaga mengesan 282 kes, Kluster Penjara Jalan Harapan (sembilan), Kluster Tembok Gajah (sembilan), Kluster Tembok (tiga), Kluster Pagar Siput (tiga), dan Kluster GK Tawau (satu),” katanya.

Beliau berkata, terdapat 117 kes positif Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 55 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatifnya 457 kes,” katanya.

Berdasarkan ringkasan kes kematian, kedua-dua korban merupakan warga emas dan mempunyai latar belakang penyakit kronik lain seperti buah pinggang, jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Kes kematian ke-546 direkodkan di Hospital Sungai Buloh melibatkan lelaki berumur 65 tahun manakala kes ke- 547 merupakan wanita berusia 68 tahun yang dilaporkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here