
CYBERJAYA – Pembakaran mayat bayi muslim yang didakwa mangsa wabak Covid-19 di Sri Lanka menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia yang menganggap pelaksanaan tindakan itu pencabulan hak beragama.
Dalam tindakan pihak berkuasa (hospital) negara itu pada minggu lalu, Mohammad Shaikh yang berusia 2 tahun dibakar di krematorium walaupun tidak mendapat kebenaran pihak keluarga.
“Pihak hospital memaklumkan bahawa anak kami Covid-19 hasil daripada ujian antigen yang ‘memaksa’ kami bersetuju dengan proses pembakaran jenazah.
“Sudahlah kami kehilangan anak, sekarang dikejutkan dengan berita pembakaran jenazah yang bertentangan dengan ajaran agama kami.
“Lebih malang permintaan kami untuk membuat ujian PCR tidak dilayan,” katanya bapanya, Mohamad Fahim seperti dilaporkan agensi berita luar.
Mohamad Fahim berkata, dalam rayuan untuk tidak melalui proses pembakaran jenazah, pihak keluarga telah cuba untuk menjalankan ujian PCR yang memberi keputusan lebih tepat berbanding ujian antigen.
Katanya, hasrat berbuat demikian tidak kesampaian apabila beliau diberikan surat untuk bersetuju dan mayat anaknya terus dipindahkan ke krematarium.
“Saya sedikit curiga melihat pihak hospital begitu tergesa-gesa mahu menjalankan prosedur itu sedangkan mangsa Covid-19 lain disimpan sehingga hampir 10 hari sebelum dibakar,” katanya.
Dalam pada itu, Fahim turut menafikan dakwaan orang ramai yang mengatakan beliau tidak menuntut mayat anak lelakinya.
Sri Lanka merupakan antara negara yang mewajibkan pembakaran mayat ketika pandemik Covid-19 tanpa menghiraukan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang membenarkan pengebumian.
