Covid-19: Vaksin buatan Sinovac berkesan 97 peratus

0
123
Petugas Bio Farma sedang menyembur penyahkuman pada kotak berisi vaksin Covid-19 buatan Sinovac yang tiba di Indonesia. – GAMBAR IHSAN ISTANA PRESIDEN INDONESIA

JAKARTA – Firma farmaseutikal milik negara Indonesia, Bio Farma mendedahkan vaksin Covid-19 buatan Sinovac mencatat keberkesanan sehingga 97 peratus.

Perkara tersebut didedahkan oleh jurucakap Bio Farma, Iwan Setiawan, dalam satu sidang akhbar, hari ini, kata Reuters.

GAMBAR IHSAN ISTANA PRESIDEN INDONESIA

“Anggota (ujian) klinikal kami mendapati, setelah sebulan diuji di lapangan, data awal menunjukkan vaksin ini berkesan sehingga 97 peratus,” kata Iwan.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut sama ada keputusan yang diumumkan itu merupakan hasil ujian fasa akhir.

Vaksin buatan China yang dijenamakan sebagai CoronaVac itu sudah menjalani ujian di Bandung, Jawa Barat sejak Ogos lalu, dan difahamkan seramai 1,600 individu telah menerimanya.

Indonesia telah menerima sebanyak 1.2 juta dos CoronaVac yang diterbangkan dari China dengan menaiki pesawat khas pada Ahad malam lalu.

Sebanyak 1.8 juta dos lagi dijangka tiba pada awal Januari nanti.

Pihak berkuasa Indonesia dijangka akan memberi kelulusan penggunaan kecemasan vaksin itu pada lewat Januari sebelum program inokulasi besar-besaran dapat dimulakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here