
COVENTRY – Seorang rakyat Malaysia yang juga doktor perubatan di salah sebuah hospital di United Kingdom (UK) menjadi antara individu terawal menerima vaksin Covid-19.
Dr Azhan Che Daud yang bertugas di Hospital Universiti Coventry and Warwickshire berkata, beliau menerima suntikan pertama dos vaksin tersebut semalam.
“Saya berasa gembira dan bangga kerana menjadi antara petugas kesihatan terawal terpilih untuk mendapat vaksin tersebut.
“Setiap penerima akan menerima dua dos vaksin dan untuk dos kedua dijangka akan diperoleh pada 14 Januari tahun hadapan,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Azhan berkata, pemberian vaksin tersebut merupakan salah satu program inisiatif vaksinisasi Covid-19 oleh kerajaan UK.
Sebelum ini, pada 8 Disember lalu, beberapa individu di Coventry menjadi antara penerima awal vaksin Covid-19 di dunia.

Pada hari pertama sahaja sebanyak 100 individu terutamanya mereka yang berusia 80 tahun ke atas, pekerja rumah jagaan dan petugas barisan hadapan hospital menerima suntikan tersebut.
Sejak wabak tersebut menular di Coventry, lebih 9,000 kes dilaporkan dan menjelang sambutan perayaan Krismas minggu hadapan, bandar tersebut diletakkan dalam keadaan berwaspada memadangkan kes jangkitan Covid-19 yang masih tinggi.-MT